pendidikan

 BUDI BAHASA BUDAYA KITA 


Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpapar di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kebejatan amalan mulia ini adalah disebabkan oleh pengaruh budaya kuning dari negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Belanda dan United Kingdom yang terkenal dengan sikap keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan dasar buka pintu bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, masyarakat kita tidak dapat lari dari pengaruh dunia luar dan pengaruh budaya kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak fikiran masyarakat.

       Budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu manfaat boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa jua warna kulit, taraf dan umur individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada mengatakan bersatu teguh, bercerai roboh. Justeru, apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.

irik Lagu Budi Bahasa Budaya Kita

Ibu bapa dan kaum keluarga 
Saudara terdekat jiran tetangga 
Sayang menyayangi bertegur sapa
Ketulusan ikatan sepanjang usia

Para guru rakan sekolah 
Turut warnai kehidupan kita
Ilmu ditimba pengalaman bertambah
Pergaulan sihat peribadi ceria 

c/o

Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah dan mesra elok pekerti 
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi
Bertimbang rasa hormat menghormati 

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas 
Mencurah bakti tak minta dibalas
Harapan rakyat satu amanah




PEMANASAN GLOBAL




Punca-Punca Pemanasan Global
Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

     Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

     Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

     Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

     Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi.

     Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor berlakunya pemanasan global.

     Kesimpulannya, nilai kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Kita berharap agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.


PERPADUAN KAUM





KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

            Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.
           
Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi.  Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.
           
Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

            Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum  yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantaran itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yangberlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.
           
Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada TuhanUsaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’   Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar.  Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
           
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk  akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap sepertikacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah,  sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.  Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.
           
Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.
           
Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.  Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh  itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak  tengadah.  Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.




No comments:

Post a Comment