Nota Sejarah


 SEJARAH 



Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan peralihan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan di England.
       Pemerintahan beraja mutlak di England bermula sejak penghujung abad ke-15. Sistem ini diasaskan oleh oleh Raja Henry VII iaitu pemerintah Dinasti Tudor. Sistem pemerintahan raja mutlak berpegang kepada prinsip dan  kepercayaan bahawa raja dilantik oleh Tuhan. Raja berkuasa dalam segala hal mengatasi undang-undang.

        Selepas Perang Bunga Ros berakhir, majoriti masyarakat England bersetuju sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak sebagai penyelesai keadaan huru-hara. Pemerintahan raja berkuasa mutlak yang diamalkan semasa Zaman Dinasti Tudor [1485 – 1603] mendapat sokongan rakyat. Hal ini kerana raja-raja Tudor menghormati prinsip perbatasan pemerintah yang terkandung dalam Magna Carta. Parlimen England ketika itu terdiri daripada House of Lord dan House of Commons. House of Lord yang dianggotai oleh tuan tanah yg kaya, bishop dan kerabat diraja lebih berkuasa berbanding House of Commons yang dianggotai oleh golongan knight, orang kaya dan peguam.

        Menjelang  abad ke-17, berlaku perubahan dalam masyarakat England. Di luar Bandar, muncul golongan gentry yang memiliki tanah dan kekayaan melebihi golongan bangsawan. Di Bandar pula, muncul golongan bourjois iaitu saudagar yang kaya ber pendidikan dan berpengetahuan dalam bidang ekonomi. Golongan gentry dan bourjois yang banyak menganggotai House of Commons berani mempertikaikan House of Lord yang didominasi oleh golongan aristokrat. Pada masa yang sama berlaku pergeseran mahzab gereja. Penganut mahzab Protestan marah dengan tindakan  gereja kebangsaan England iaitu Anglican yg masih mengamalkan sifat gereja  Katolik . Golongan puritan ini bermatlamat membersihkan amalan gereja di England daripada pengaruh gereja Katolik Rom.

        Kemangkatan Ratu Elizabeth I menandakan berakhirnya pemerintahan  Dinasti Tudor di England. Sepupu Ratu Elizabeth I iaitu Raja James I dari Scotland telah ditabalkan menjadi raja England. Perlantikan ini menandakan bermulanya pemerintahan Dinasti Stuart. Raja James I berpegang teguh kepada doktrin kuasa suci raja yang menganggap kedudukan raja mengatasi segala undang-undang. Hal ini tidak disenangi  oleh golongan gentry dan bourjois  yang  ingin memisahkan gereja dari pemerintahan. Sikap pilih kasih dalam urusan perdagangan dan tindakan raja membelakangkan parlimen dalam isu cukai menyebabkan golongan saudagar marah.

        Keadaan bertambah celaru bila Raja Charles I menggantikan ayahandanya sehingga parlimen mengeluarkan Petition of Right. Petisyen ini bertujuan mengutuk raja yang bersikap autokratik. Golongan puritan semakin marah bila Bishop Besar William Laud yang dilantik oleh Raja Charles I melarang golongan puritan melakukan aktiviti keagamaan mereka. Pada tahun 1645, berlaku perang dan tentera parlimen yang dipimpin Oliver Cromwell berjaya mengalahkan tentera Raja Charles I. Oliver Cromwell juga menyingkirkan ahli parlimen yang proraja. Beliau kemudian mengisytiharkan England sebagai  negara republik dan dia sendiri sebagai ketua.

       Walaupun berjaya menubuhkan pemerintahan raja berperlembagaan, Oliver Cromwell tetap menerima tentangan daripada  golongan levelers  dan golongan diggers menuntut setiap rakyat England berhak mengundi dan persamaan hak dalam pemilikan harta. Oliver Cromwell  telah membubarkan parlimen dan membentuk kerajaan baru iaitu Protectorate dan melantik dirinya sebagai Lord Protectorate. Walaupun memerintah mengikut perlembagaan, tetapi beliau pemerintahan bercorak diktaktor ketenteraan.


Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan  peralihan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan di Perancis.

       Perancis merupakan antara negara di Eropah yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak. Walau bagaimanapun, kepincangan dan ketidakstabilan politik serta kebangkitan rakyat menyebabkan sistem ini dihapuskan dan digantik dengan sistem pemerintahan raja berperlembagaan.


      Di bawah sistem raja berkuasa mutlak yang diamalkan di Perancis, pemerintahan Perancis terletak di tangan Raja, Majlis Diraja dan intendant. Kuasa raja mengatasi semua undang-undang. Raja berkuasa memenjarakan individu yang ingkar atau menyakiti hati golongan berpengaruh. Tindakan ini dipanggil lettre de cachet. Majlis Diraja dianggotai kerabat diraja yg berpengaruh. Mereka berperanan membuat keputusan penting dalam semua bidang. Di peringkat wilayah, intendant diamanahkan untuk  menguruskan hal pentadbiran dan cukai sekaligus mengurangkan kuasa politik golongan bangsawan.

       Golongan  paderi atasan dan golongan bangsawan turut diberi keistimewaan. Golongan bourjois iaitu  golongan kelas menengah seperti professional, guru, peguam dan  pedagang turut diberikan keistimewaan seperti pengecualian cukai. Walau bagaimanapun, golongan ini tidak berpuas hati kerana tidak berpeluang naik pangkat dalam pegawai tentera dan berkhidmat dalam pentadbiran. Golongan petani pula  terbeban dengan pelbagai cukai seperti cukai tanah, garam, harta dan cukai feudal. 

       Parlimen Perancis pula terbahagi kepada tiga estet iaitu estet pertama  yang terdiri daripada golongan paderi, estet kedua dianggotai oleh golongan bangsawan dan estet ketiga pula terdiri daripada golongan borjouis dan petani. Estet pertama dan kedua diberi keistimewaan manakala estet ketiga seolah-olah terpinggir. Estet ketiga tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan penting. Tuntutan estet ketiga untuk mendapatkan persamaan hak tidak diendahkan oleh Raja Loui XVI. Estet ketiga akhirnya mengisytiharkan diri sebagai Perhimpunan Kebangsaan atau Parlimen Negara. Tindakan estet ketiga ini menandakan bermulanya Revolusi Perancis. Perjuangan Estet Ketiga mendapat sokongan golongan miskin.


       Perjuangan estet ketiga membuahkan hasil apabila mereka berjaya menawan bangunan Bastille. Kemuncak perjuangan estet ketiga ialah apabila berlakunya peristiwa yang dipanggi ‘Hari Ogos’: Peristiwa ini menandakan penghapusan sistem feudal. Ahli parlimen dan golongan feudal menyerahkan hak  feudal mereka manakala golongan paderi menyerahkan hak gereja. Pada 26 Ogos 1789 , parlimen meluluskan Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara. Pentadbiran Perancis  dibahagikan kepada 83 kawasan [department] dan setiap department ini dibahagi kepada daerah [cantons] dan commune. Kerajaan tempatan dipilih oleh rakyat tempatan dan berkuasa di kawasan masing.

       Menjelang tahun 1791  Majlis Perhimpunan Kebangsaan menyiapkan perlembagaan baru. Dengan mengambil idea berdasarkan teori pengasingan kuasa  Montesquieu, kerajaan Perancis dibahagikan kepada badan legislative, badan eksekutif dan badan judisiari. Bermulalah era pemerintahan raja berperlembagaan di Perancis. Walau bagaimanapun, pemerintahan raja berperlembagaan berlangsung selama setahun sebelum bertukar kepada republik. Akibat pergeseran antara golongan revolusi dengan golongan menyokong raja, Raja Louis XVI dan isterinya Marie Antoinnette telah dihukum pancung dengan gilotin.


       Perubahan sistem pemerintahan beraja mutlak kepada raja berperlembagaan menyaksikan pergolakkan politik di Perancis. Kacau-bilau yang berlakunya di Perancis hanya  tamat bila Napoleon Bobaparte mengambil alih pemerintahan [1799].

Tema 4: Konflik Antarabangsa
SoalanHuraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua.       

       Perang Dingin merujuk kepada konflik antara dua buah kuasa besar iaitu  blok kapitalis yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan blok komunis yang diketuai oleh Soviet Union @ Rusia setelah Perang Dunia Kedua [PD2] berakhir. Perang Dingin tidak melibatkan pertempuran bersenjata  sebaliknya kedua-dua kuasa terbabit biasanya menjadi penyokong atau dalang kepada negara2 yang berkonflik. 

Perbezaan Ideologi   kapitalisme dengan komunisme menjadi punca berlakunya Perang Dingin. Pendukung  kapitalisme merupakan negara demokratik yang meletakkan kuasa di tangan rakyat. Hal ini berbeza dengan ideologi  komunisme yang di perintah oleh diktator  dan hanya mengiktiraf Parti Komunis. Sistem kapitalisme mendukung prinsip pasaran bebas yang banyak menguntungkan pelabur pelabur besar. Hal ini bertentangan dengan ideologi komunisme yang menganggap pemerintah wajar  mengawal  ekonomi bagi memastikan kepentingan pelabur kecil terbela. Perbezaan ideologi ini mendorong kedua-dua kuasa ini berusaha  meluaskan pengaruh masing-masing.

Selain itu, kegagalan beberapa siri rundingan juga mennyebabkan berlakunya Perang Dingin.Pada 1943,  pemimpin Kuasa Berikat iaitu Amerika Syarikat [AS], Rusia, Perancis dan Britain mengadakan pertemuan untuk membincangkan keadaan politik di Eropah. Perbincangan ini menyangkut hal konsesi Rusia di Eropah Tengah, pembahagian negara Jerman kepada 4 zon tentera, penguasaan Rusia ke atas Poland dan isu penguasaan ke atas Eropah Timur dan Eropah Tengah. Walau bagaimanapun, 3 siri perbincangan di Teheran, Yalta dan Postdam ini tidak mencapai kata putus. Keadaan ini menyebabkan keretakan hubungan negara-negara terbabit sehingga mencetuskan bibit-bibit Perang Dingin. Lebih mengeruhkan keadaan, rakan dalam Kuasa Berikat curiga dengan Rusia yang dikuasai oleh komunis

 Kemerosotan ekonomi di Eropah juga dikatakan menjadi faktor berlakunya Perang Dingin. Ekonomi negara-negara seperti  Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Belanda terjejas teruk berikutan pendapatan negara diperuntukan membiayai PD2.  AS menggunakan peluang ini dengan menawarkan dana bantuan dan sokongan bagi menghalang perluasan ideologi komunis. AS  kemudian menubuhkan Rancangan Marshall bagi membangunkan semula ekonomi Eropah Barat selain mengekang pengaruh komunis. Rusia menolak Rancangan Marshall kerana beranggapan bahawa ia adalah salah satu bentuk campur tangan AS. Rusia kemudian cuba mempengaruhi negara-negara di Eropah Timur agar tidak menerima bantuan AS dan  bertindak menubuhkan satu pertubuhan ekonomi untuk mengimbangi pertubuhan ekonomi yang dianjurkan oleh AS.

Di samping itu, kebimbangan Rusia terhadap ancaman Jerman juga menjadi faktor penyebab Perang Dingin. Kebimbangan ini menyebabkan  Rusia bercadang menguasai negara-negara  di Eropah timur untuk dijadikan sebagai ‘Zon Penampan’. Joseph Stalin iaitu pemerintah Rusia ketika itu bimbang sejarah Peristiwa Operasi Barbarossa berulang iaitu Adolf Hitler memimpin serangan besar-besaran selama 900 hari dan menggugurkan lebih 600 000 bom ke atas Rusia. Rusia berusaha melemahkan Jerman  dengan menghalang Jerman bersatu di bawah kerajaan kapitalis. Akibatnya, negara  Jerman terbahagi kepada dua  iaitu Jerman Timur [Komunis] dan Jerman Barat [kapitalis].

Jelas sekali bahawa Perang Dingin berpunca daripada usaha kedua-dua kuasa besar  iaitu Amerika Syarikat dan Rusia yang berusaha mengembangkan pengaruh ideolog masing-masing. Perang Dingin ini telah mengakibatkan negara-negara di dunia terpecah kepada dua dua blok iaitu blok kapitalis dan blok komunis.

No comments:

Post a Comment